Archive for August, 2007

Pemain bola, rakyat Iraq mahu AS segera undur askar

Tuesday, August 28th, 2007

Oleh: Dr Syed Azman Syed Ahmad

Mon | Aug 27, 07


KEMENANGAN pasukan bola sepak Iraqmenjuarai Piala Asia diraikan seluruh warga Iraq tanpa mengira mazhab dan fahaman politik. Pasukan dibarisi pemain-pemain daripada fahaman Sunni, Syiah, Kurdis dan Turkmen ini telah mengejutkan dunia bola sepak dengan mengalahkan pasukan Arab Saudi yang dianggap lebih kuat dan terlatih.

Lebih mengkagumkan lagi pasukan Iraqterpaksa mengharungi pelbagai ancaman termasuk penculikan, kematian di kalangan ahli keluarga serta gangguan keselamatan sepanjang latihan. Namun di sebalik kegembiraan rakyat Iraqmeraikan kemenangan ini, mereka sebenarnya sedang menghadapi ancaman kehidupan yang amat menyayatkan hati. Satu kajian terbaru yang dibuat oleh Pertubuhan Kebajikan OXFAM yang beribu pejabat di London mendapati kesan perang di Iraqtelah mencetuskan krisis kemanusiaan amat kritikal.

Menurut laporan tersebut lebih 28 peratus kanak-kanak Iraq

menghadapi kekurangan zat makanan, 15 peratus penduduk tidak mampu mendapatkan makanan mencukupi serta 70 peratus penduduk menghadapi kekurangan air minuman bersih.

Bayangkan bagaimana rakyat sebuah negara yang dianggap ‘singa Mesopotamia’ yang kaya dengan hasil minyak dan gas terpaksa merempat di negara sendiri. Ke mana perginya hasil kekayaan negara selepas tumbangnya Saddam Hussein di tangan Amerika Syarikat?

Yang nyata syarikat-syarikat minyak konglomerat Amerika dan Eropah yang besar sedang bersaing menghirup sebahagian besar hasil kekayaan bumi Iraq untuk dibawa keluar dari negara tersebut. Adalah dianggarkan Iraqkini mempunyai simpanan minyak dan gas lima kali ganda lebih besar daripada Arab Saudi dan Negara Teluk lain.

Malangnya apa yang berlaku di Iraq adalah akibat ketidakstabilan serta keganasan berterusan terutamanya selepas penaklukan Iraq

oleh tentera Amerika dengan menggulingkan rejim Saddam.

Janji Washington ‘menggembalikan kestabilan serta pembangunan kepada rakyat Iraq’ ternyata omongan kosong. Apatah lagi janji-janji Washington untuk membawa demokrasi serta keamanan kepada Iraq

tidak terlaksana.

Jelas kegagalan polisi luar Amerika serta sekutunya di Iraq semakin terserlah. Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Iraq terbunuh akibat penaklukan tentera asing yang diketuai oleh Amerika. Siri kekejaman dan penindasan terus berlaku di atas nama ‘memerangi keganasan dan Al-Qaeda’ di bumi Iraq. Sehingga kini dianggarkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Iraq terbunuh setiap hari dan lebih 100 tentera Amerika terbunuh setiap bulan. Washington terpaksa menerima ratusan keranda mayat tentera mereka setiap bulan.

Laporan OXFAM juga menyebut kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak Iraq meningkat mendadak dan khidmat asas yang dijalankan sejak perang bermula tidak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat. Begitu juga laporan tersebut menganggarkan lebih dua juta penduduk Iraq terpaksa meninggalkan negara sejak 2003 dan menetap di negara jiran seperti Iran, Jordan dan Syria.

Dalam laporan lain yang dikeluarkan OXFAM mendapati hampir lapan juta penduduk Iraq memerlukan bantuan kecemasan seberapa segera. Angka ini termasuk empat juta penduduk yang memerlukan bantuan makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan lain. Sementara itu lebih dua juta penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat dalam negara mereka dan dua juta lagi terpaksa menjadi pelarian di beberapa negara.

Berikut diperincikan sebahagian laporan OXFAM tersebut:

*Empat juta rakyat Iraq yang merupakan 15% daripada penduduk tidak mampu mendapatkan bekalan makanan harian yang mencukupi.

*Sejumlah 70% penduduk Iraq tidak mendapat bekalan air bersih berbanding dengan 50% pada 2003 sebelum pencerobohan Amerika.

*Sejumlah 28% kanak-kanak Iraq menghadapi kekurangan makanan berzat berbanding dengan hanya 19% pada 2003 sebelum pencerobohan Amerika.

*Sejumlah 92% kanak-kanak Iraq menghadapi masalah pembelajaran dan kebanyakannya ‘berada dalam suasana ketakutan’.

*Lebih dua juta rakyat Iraq yang majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak kini menjadi pelarian di negara sendiri.

* Lebih dua juta rakyat Iraq kini menjadi pelarian terutamanya di Syria, Jordan dan Iran.

Namun Amerika terus berada dalam penafian dengan penuh keangkuhan walaupun seluruh dunia menyaksikan ‘sandiwara’nya. Keengganan Amerika menerima realiti kegagalan polisi penjajahan di Iraq telah memberi kesan amat mendalam kepada rakyat tempatan serta membawa kepada percaturan politik antarabangsa lebih parah.

Presiden George W Bush sendiri menggangap bahawa penaklukan ke atas Iraq adalah tanggungjawab ‘legitimate’ bagi ‘memerangi pengganas’ serta ‘menjamin keamanan dunia’.

Lebih mengejutkan dalam satu kajian sebuah badan kajian antarabangsa mendapati lebih 72 peratus rakyat Iraq mahukan tentera Amerika segera berundur dari Iraq bagi menggembalikan keamanan di negara itu. Majoriti rakyat Iraq juga mahukan agar masa depan negara mereka ditentukan oleh pimpinan politik tempatan di negara mereka dan bukannya dengan campurtangan dan arahan Washington.

Mungkin inilah luahan isi hati majoriti penduduk Iraq seperti yang dituturkan ketua pasukan bola sepak Iraq, Younis Mahmoud; “saya berharap untuk pulang ke Baghdad untuk meraikan kemenangan pasukan kami, tapi siapakah yang akan menjamin nyawa dan keselamatan kami? Di Iraq kamu tak tahu siapakah yang akan membunuh kamu…tetapi masalahnya adalah dengan kehadiran tentera Amerika dan kerajaan sekarang. Saya tidak mahu rakyat Amerika membenci saya tapi saya mengharapkan agar tentera Amerka tidak menjajah bumi Iraq dan saya mendoakan kami (rakyat Iraq) akan menghalau mereka seberapa segera.”

Mahmoud sendiri menyatakan bahawa kesemua anggota pasukan bermain bermati-matian apabila mendapat tahu seorang ibu di Baghdad mengabadikan kehilangan seorang anaknya yang berusia 12 tahun yang terbunuh dalam serangan bom kereta kepada pasukan Iraq beberapa hari sebelum pertandingan Piala Asia bermula.

Jurulatih pasukan Iraq, Jorvan Viera pula mengabadikan kemenangan pasukannya kepada pakar ‘physiotherapist’ pasukan Iraq, Anwar Jassim yang terbunuh dalm serangan bom kereta beberapa hari sebelum beliau bertolak bersama pasukan Iraq untuk menyertai pertandingan tersebut.

Anwar meninggalkan seorang isteri beserta empat anak kecil.

Ya, inilah realiti di Iraq kini. Pasukan bola sepak Iraq berjaya membuktikan bahawa mereka boleh bersatu dan berjaya walaupun berlainan fahaman dan mazhab.

Namun kepimpinan politik Iraq bercakaran dan terus dicemari dengan tangan-tangan jahat penjajah Amerika yang mengapi-apikan sentiman puak dan mazhab yang sempit sehinggakan darah insan tidak bersalah terus mengalir di bumi Iraq.

KEMERDEKAAN

Thursday, August 16th, 2007

31 Ogos 2007 genap 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia. Pada 31 Ogos 1957, perdana menteri Malaya yang pertama, al-marhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan yang diperolehi dari penjajah British. Perjuangan mendapatkan kemerdekaan sebenarnya bermula berdekad-dekad sebelum itu. Nenek moyang kita telah hidup dalam kesengsaraan akibat pemerintahan penjajah.

Sebenarnya apabila setiap tibanya perayaan menyambut kemerdekaan, aku sendiri teringat kepada arwah bapa. Bapa akan menggosok bendera Malaysia yang disimpan di dalam almari untuk dikibarkan beberapa hari sebelum 31 Ogos dan beberapa hari selepasnya. Bapa berbuat begitu hanya kerana kesedaran dan kemahuan sendiri. Pernah bapa menyatakan dia berbuat begitu kerana menghargai kemerdekaan. Bila bendera telah lusuh atau hilang tidak dapat dicari, bapa akan beli yang baru.

Emak juga pernah bercerita saat-saat Tanah Melayu hendak mendapat kemerdekaan. Kata emak, “Kami menangis ketika keberangkatan Tunku. Kami menangis kerana Tunku pergi hanya bersenjatakan pen dan kertas”. Emak bercerita, Indonesia telah mendapat kemerdekaan dengan pertumpahan darah. Oleh itu, seperti sukar hendak dipercayai yang Tanah Melayu akan mendapat kemerdekaan hanya dengan pen dan kertas. Tetapi Tunku Abdul Rahman telah pulang ke Tanah Melayu dengan kejayaan, alhamdulillah.

Semestiya kita bersyukur dengan kemerdekaan yang kita kecapi. Aku sendiri lahir setelah kemerdekaan. Mungkin generasi ku dan generasi lebih muda sukar hendak menghargai kemerdekaan. Tambahan pula taraf kehidupan semakin hari semakin meningkat. Dan kita mudah lalai dalam kemewahan.

Bagaimana kita menghargai kemerdekaan?

Aku masih ingat semasa di bangku sekolah rendah, kami bersama-sama mengambil bahagian dalam perbarisan. Kami ke Padang Kelab Selangor (sekarang ini Dataran Merdeka) menjalani raptai bersama “abang-abang” dan “pakcik-pakcik” polis dan askar. Untuk ke Dataran Merdeka, aku dan rakan-rakan menumpang trak merah FRU dari polis depot di Jalan Padang Tembak (sekarang ini Jalan Semarak), kerana rakan-rakan aku ramai yang ayahnya polis dan tinggal di polis depot tersebut.

Semasa raptai dan acara kemuncak, saat-saat yang paling aku suka sekali ialah ketika bacaan ikrar dan rukunegara, nyanyian lagu Negaraku dan Barisan Kita. Terutama sekali ketika mendengar pasukan keselamatan yang menyanyikan Barisan Kita. Semangat cintakan tanah air meluap-luap rasanya. Meremang bulu roma ketika menyatakan ikrar dan rukunegara serta ketika menyanyikan lagu Negaraku dan Barisan Kita. Mata kami akan tajam merenung bendera yang dinaikkan ketika menyanyikan lagu Negaraku.

Aku masih ingat Dataran Merdeka dibanjiri ribuan mungkin lebih sejuta manusia, tua, muda, besar dan kecil dari semua bangsa. Tidak ada konsert-konsert yang menyediakan hiburan oleh artis-artis. Tetapi Kuala Lumpur tetap meriah hingga ke malam pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Sebaliknya pada hari ini, rasanya kalau tidak ada konsert hiburan, mungkin golongan muda (entah-entah golongan tua pun sama) tidak akan bersama-sama merayakan hari 31 Ogos.

Aku menghargai kemerdekaan ini kerana aku boleh menuntut ilmu tanpa ada sekatan dan dalam bilik darjah yang amat selesa. Bapa pernah bercerita, bilik darjah di zaman beliau hanya merupakan bangsal. Jika hujan, akan tempiaslah. Emak juga memberi semangat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi. Tiada harta yang dia dapat tinggalkan melainkan ilmu, kata emak. Sebenarnya, emak kami agak moden fikirannya walaupun dia sendiri dibesarkan di kampung. Harapan emak terhadap kami juga tinggi. Kata emak, tempat wanita bukan di ceruk dapur. Sekiranya ada kebolehan harus menyumbang kepada masyarakat dengan berkerjaya. Dia tidak benarkan kami belajar menaip pun. Waktu itu ramai rakan-rakan perempuan akan belajar menaip sementara menunggu keputusan SPM (maklumlah penggunaa komputer masih belum meluas). Katanya, “engkau belajar tinggi-tinggi, jadi pegawai, tak perlu sijil menaip.” Tapi dia keluarkan wang dari koceknya untuk anak-anaknya (lelaki & perempuan) untuk belajar memandu. Duhai emak, duhai bapa.

Aku menghargai kemerdekaan kerana hidup di zaman ini terlalu mewah sebenarnya, tidak makan nasi bercampur ubi kayu. Emak dan bapa pernah bercerita, bukan sahaja nasi bercampur ubi kayu, malah makan bubur air nasi sahaja kerana kesempitan terutama sekali ketika penjajahan Jepun dahulu.

Aku menghargai kemerdekaan dan berterima kasih kepada pejuang-pejuang dahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Datuk Onn Jaafar, Dato Bahaman, Dato Maharajalela dan ramai lagi yang namanya tidak terlintas di fikiran saat ini.

Aku menghargai kemerdekaan dan mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan kemerdekaan kepada kita. Berusahalah untuk menjaga kemerdekaan ini dan jagalah ia dengan batasan AGAMA.