Archive for April, 2008

Tuesday, April 1st, 2008

Sudah lebih dua bulan kembali ke tanah air bertuah. Sememangnya kepulangan ini terlalu dinanti-nantikan. Almaklumlah sudah bertahun tidak pulang.

Menjejak kaki di perut pesawat MAS sudah mula aku rasakan suasana Malaysia. Aku kira senyumku tidak berkesudahan. Sepanjang perjalanan cuba membaca novel bekalan sambil mendengar siaran radio. Itupun anak kesayangan yang mencarikan siaran yang sesuai untuk ibunya. Pandai jugak si anak dara aku menyerahkan alat dengar (earphone) kepada ku tatkala dia tertangkap irama asli melayu. Ehem, kiranya aku ini berminat mendengar irama asli yang mendayu.

Setiba di KLIA, perasaan gembira membuak-buak. Ini tanahku, ini tempat tumpah darahku!!!! Jerit batinku. Anak-anak yang pada awalnya agak sedih meninggalkan bumi Australia, bagai menari-nari di lantai KLIA kegembiraan. Masing-masing teruja melihat gelagat orang Malaysia. Mula membuat pelabagai kenyataan tentang ini dan itu yang  tidak ada di tanah Australia. Aku senyum. Yang tersayang pun lagi lebar senyumnya.

Memang terharu apabila dapat mendakap insan-insan tersayang yang kami tinggalkan dulu. Apa lagi apabila menatap wajah emak yang tenang. Airmata tergenang di bibir mata.

Beberapa minggu pertama aku jadi seperti kambing lepas kandang (betul ke perumpamaan ni???) Mataku meliar melihat alam sekitar bersama gelagat manusia. Dan paling aku kagumi ialah warna-warni manusia di Kuala Lumpur ini. Ketika melalui laman universiti, kelihatan siswi-siswi yang berdiri di perhentian bas dengan pelbagai warna baju kebangsaan. Aku katakan pada yang tersayang, lawa-lawanya budak-budak ni. (mungkin itu jugak yang terlintas di hati yang tersayang aku ketika itu, tapi hendaknya tidaklah …………………….)