Saturday, May 17th, 2008
Hari Guru semalam aku mendapat sms dari salah seorang pelajarku. Begitulah setiap kali pasti ada yang mengingatiku apabila datangnya Hari Guru, alhamdulillah. Aku juga ada kalanya terkenang beberapa orang pelajar yang benar-benar telah meninggalkan kesan dalam hidup. Antaranya Siti Azalina.
Siti Azalina, gadis berkulit hitam manis dan mempunyai wajah yang tak kurang manisnya. Hingga hari ini ada sedikit kekesalan kerana kurang prihatin kepadanya dulu. Saya dalam kelas puan last sem., tapi saya ambil cuti sakit. Sem ni saya sambung belajar. Itu antara kata-katanya ketika aku memasukkan buku dan nota ke dalam beg di akhir kelas. Aku memandang wajahnya, aku tak ingat pun wajahnya itu dari semester lalu. Seperti biasa aku tanyakan, sekarang dah ok ke? Dia kata, insyaallah ok, sambil tersenyum.
Ada lesung pipit di pipi. Dengan bersahaja aku tanya lagi, awak sakit apa? Leukimia, jawabnya. Aku terkejut. Aku pandang wajahnya sambil
cuba menyembunyikan rasa terkejut. Betul dah ok sekarang ni? Tanyaku lagi. Dia angguk. Kemudian aku tanyakan tentang rawatan dia.
Ada kelas lain yang akan bermula. Aku tak dapat berbual lanjut.
Selepas itu, apabila bertemu dia, aku tak lupa tanyakan khabar. Bila dia tiada di kelas ku, aku akan bertanya kawan baiknya selepas kelas.
Ada kebimbangan tentang tahap kesihatannya. Aku masih ingat ada kala aku terserempak dia di luar bangunan fakulti menunggu ayahnya menjemputnya dengan teksi. Ayahnya pemandu teksi. Saya tak tahan panas, Puan. Ayah kena ambil bila ada kelas macam ni, beritahunya apabila aku tanyakan dia sedang menunggu siapa.
Cuti semester berlalu, dan seperti biasa semuanya sibuk. Ketika aku masuk ke pejabat hal ehwal pelajar, tertangkap suara staf berkata, ini dialah yang meninggal tu. Aku tanya, sebab accident ke? Tak, jawab Kak Syah, sakit. Aku jenguk fail di tangan Kak Syah. Ya Allah!! Berderau darahku. Ini student saya, aku bersuara tinggi. Hatiku mulai sebak. Aku tanya soalan bertalu-talu kepada Kak Syah, bila, kat mana. Termangu-mangu kakak yang sorang ni. Tak taulah, ayah dia yang bagi
surat hospital ni, katanya lagi. Aku tatap
surat pengesahan kematian.
Aku tinggalkan Kak Syah, masuk ke bilik pejabatku. Aku terduduk. Terbayang-bayang wajahnya, terbayang-bayang senyumnya, terbayang-bayang lesung pipitnya. Hatiku bertambah sebak. Aku sedekahkan fatihah kepada arwahnya Aku terpaksa ke kelas. Di kelas, aku renung wajah pelajar-pelajar di hadapanku. Mereka agak termangu melihat renunganku.
Aku tanyakan jika mereka kenal Azalina. Ramai yang kenal. She passed away, kataku dengan nada sebak. Aku tak dapat teruskan kata-kata lalu keluar dari kelas. Aku masuk ke bilik pejabat ku semula. Airmata aku keluar. Aku sedekahkan fatihah kepada arwahnya lagi berkali-kali. Masuk kembali ke kelas, aku memberi kata nasihat buat pelajar-pelajarku. Hargailah masa sihat dan masa muda seperti dia. Walaupun tahu yang penyakitnya amat serius, dia tetap mahu teruskan pelajarannya. Sebenarnya dia hanya perlu lulus tiga atau empat kursus saja lagi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda.
Aku dan beberapa orang rakan menziarahi keluarganya di sebuah kampung yang terletak di Ulu Kelang. Aku amat kesal kerana tidak tahu yang dia telah dimasukkan ke hospital lagi. Menurut ayahya (yang sentiasa tenang wajahnya), dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi lagi. Sebenarnya dia tidak tidak sempat pun menduduki peperiksaan akhir kerana terpaksa dimasukkan ke wad. Aku kesal kerana tidak menyedari yang dia tidak hadir ke peperiksaan yang lalu. Aku amat kesal kerana tidak dapat menziarahinya di hospital.
Dia mengajar ku supaya memandang pelajar-pelajarku dengan pandangan kasih sayang. Setiap dari mereka mungkin mempunyai sejarah atau kisah yang aku tidak tahu. Perjuangan hidup mereka mungkin lebih payah dari apa yang pernah aku lalui sebagai seorang pelajar dahulu.