KEMERDEKAAN
August 16th, 2007 by anazabri31 Ogos 2007 genap 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia. Pada 31 Ogos 1957, perdana menteri Malaya yang pertama, al-marhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan yang diperolehi dari penjajah British. Perjuangan mendapatkan kemerdekaan sebenarnya bermula berdekad-dekad sebelum itu. Nenek moyang kita telah hidup dalam kesengsaraan akibat pemerintahan penjajah.
Sebenarnya apabila setiap tibanya perayaan menyambut kemerdekaan, aku sendiri teringat kepada arwah bapa. Bapa akan menggosok bendera Malaysia yang disimpan di dalam almari untuk dikibarkan beberapa hari sebelum 31 Ogos dan beberapa hari selepasnya. Bapa berbuat begitu hanya kerana kesedaran dan kemahuan sendiri. Pernah bapa menyatakan dia berbuat begitu kerana menghargai kemerdekaan. Bila bendera telah lusuh atau hilang tidak dapat dicari, bapa akan beli yang baru.
Emak juga pernah bercerita saat-saat Tanah Melayu hendak mendapat kemerdekaan. Kata emak, “Kami menangis ketika keberangkatan Tunku. Kami menangis kerana Tunku pergi hanya bersenjatakan pen dan kertas”. Emak bercerita, Indonesia telah mendapat kemerdekaan dengan pertumpahan darah. Oleh itu, seperti sukar hendak dipercayai yang Tanah Melayu akan mendapat kemerdekaan hanya dengan pen dan kertas. Tetapi Tunku Abdul Rahman telah pulang ke Tanah Melayu dengan kejayaan, alhamdulillah.
Semestiya kita bersyukur dengan kemerdekaan yang kita kecapi. Aku sendiri lahir setelah kemerdekaan. Mungkin generasi ku dan generasi lebih muda sukar hendak menghargai kemerdekaan. Tambahan pula taraf kehidupan semakin hari semakin meningkat. Dan kita mudah lalai dalam kemewahan.
Bagaimana kita menghargai kemerdekaan?
Aku masih ingat semasa di bangku sekolah rendah, kami bersama-sama mengambil bahagian dalam perbarisan. Kami ke Padang Kelab Selangor (sekarang ini Dataran Merdeka) menjalani raptai bersama “abang-abang” dan “pakcik-pakcik” polis dan askar. Untuk ke Dataran Merdeka, aku dan rakan-rakan menumpang trak merah FRU dari polis depot di Jalan Padang Tembak (sekarang ini Jalan Semarak), kerana rakan-rakan aku ramai yang ayahnya polis dan tinggal di polis depot tersebut.
Semasa raptai dan acara kemuncak, saat-saat yang paling aku suka sekali ialah ketika bacaan ikrar dan rukunegara, nyanyian lagu Negaraku dan Barisan Kita. Terutama sekali ketika mendengar pasukan keselamatan yang menyanyikan Barisan Kita. Semangat cintakan tanah air meluap-luap rasanya. Meremang bulu roma ketika menyatakan ikrar dan rukunegara serta ketika menyanyikan lagu Negaraku dan Barisan Kita. Mata kami akan tajam merenung bendera yang dinaikkan ketika menyanyikan lagu Negaraku.
Aku masih ingat Dataran Merdeka dibanjiri ribuan mungkin lebih sejuta manusia, tua, muda, besar dan kecil dari semua bangsa. Tidak ada konsert-konsert yang menyediakan hiburan oleh artis-artis. Tetapi Kuala Lumpur tetap meriah hingga ke malam pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Sebaliknya pada hari ini, rasanya kalau tidak ada konsert hiburan, mungkin golongan muda (entah-entah golongan tua pun sama) tidak akan bersama-sama merayakan hari 31 Ogos.
Aku menghargai kemerdekaan ini kerana aku boleh menuntut ilmu tanpa ada sekatan dan dalam bilik darjah yang amat selesa. Bapa pernah bercerita, bilik darjah di zaman beliau hanya merupakan bangsal. Jika hujan, akan tempiaslah. Emak juga memberi semangat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi. Tiada harta yang dia dapat tinggalkan melainkan ilmu, kata emak. Sebenarnya, emak kami agak moden fikirannya walaupun dia sendiri dibesarkan di kampung. Harapan emak terhadap kami juga tinggi. Kata emak, tempat wanita bukan di ceruk dapur. Sekiranya ada kebolehan harus menyumbang kepada masyarakat dengan berkerjaya. Dia tidak benarkan kami belajar menaip pun. Waktu itu ramai rakan-rakan perempuan akan belajar menaip sementara menunggu keputusan SPM (maklumlah penggunaa komputer masih belum meluas). Katanya, “engkau belajar tinggi-tinggi, jadi pegawai, tak perlu sijil menaip.” Tapi dia keluarkan wang dari koceknya untuk anak-anaknya (lelaki & perempuan) untuk belajar memandu. Duhai emak, duhai bapa.
Aku menghargai kemerdekaan kerana hidup di zaman ini terlalu mewah sebenarnya, tidak makan nasi bercampur ubi kayu. Emak dan bapa pernah bercerita, bukan sahaja nasi bercampur ubi kayu, malah makan bubur air nasi sahaja kerana kesempitan terutama sekali ketika penjajahan Jepun dahulu.
Aku menghargai kemerdekaan dan berterima kasih kepada pejuang-pejuang dahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Datuk Onn Jaafar, Dato Bahaman, Dato Maharajalela dan ramai lagi yang namanya tidak terlintas di fikiran saat ini.
Aku menghargai kemerdekaan dan mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan kemerdekaan kepada kita. Berusahalah untuk menjaga kemerdekaan ini dan jagalah ia dengan batasan AGAMA.
